Selamat Datang Ke Blog SK Convent Pulau Tikus, Pulau Pinang

Monday, March 23, 2009

Sejarah Sekolah

SK Convent Pulau Tikus dibuka sebagai sebuah sekolah persendirian dalam tahun 1922 oleh Reverend Mother St. Hermine. Beliau telah memperoleh sebuah bangunan kecil di sebelah gereja 'The Immaculate Conception' untuk dijadikan sekolah ini. Pada ketika itu, hanya terdapat lima buah bilik darjah dan bilangan muridnya adalah kurang daripada seratus orang. Pada tahun 1930, empat buah bilik darjah ditambah kerana jumlah murid telah meningkat kepada dua ratus lima puluh orang. Murid-murid yang tamat dan lulus peperiksaan Darjah Enam akan melanjutkan pelajaran mereka di Sekolah Menengah Convent Light Street sehinggalah tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1941.

Selepas Perang Dunia Kedua, bilangan murid bertambah ramai dan sebuah bangunan yang baru terpaksa dibina. Pada tahun 1950, sebuah bangunan baru telah dibina kira-kira lima meter di seberang jalan dari bangunan lama. Bangunan baru ini mengandungi tiga belas buah bilik darjah, sebuah perpustakaan dan sebuah bilik guru. Mulai tahun 1960, bangunan lama digunakan sebagai sekolah rendah sementara bangunan baru digunakan sebagai sekolah menengah. Oleh sebab kekurangan bilik darjah, tiga kelas Darjah Enam terpaksa dijalankan di sekolah menengah pada sesi petang.

Hasil dari kerjasama dan usaha semua pihak, sebuah sebuah blok baru satu tingkat yang mempunyai tiga buah bilik telah dibina pada tahun 1979. Tingkat kedua yang juga mempunyai tiga buah bilik darjah telah ditambah pada tahun 1981. Kini semua kelas sekolah rendah dapat dijalankan di bangunan yang sama. Sebuah perpustakaan baru, siap dibina pada tahun 1988. Pada masa ini, SK Convent Pulau Tikus mempunyai lapan belas kelas yang dijalankan dalam dua sesi.

Sekolah Kebangsaan Convent Pulau Tikus telah ditukarkan status dari sekolah bantuan kerajaan kepada Sekolah Kerajaan oleh Kementerian mengikut surat KP(BPPDP)s.700/099/P/SK-011/005(24) bertarikh 1 September 2005.